Rahsia Disebalik Code Of Life 7711
Alhamdulillah pada bulan ini (Ogos) selesailah saya menjelajah seluruh semenanjung untuk mengisi seminar Amalan Kesogehan. Seminar pertama bermula di Kota Bharu dan yang terakhir di Ipoh, Perak. Sambutannya adalah diluar jangkaan saya sendiri di mana hampir di semua venue melebihi sasaran kehadiran.
Mempertimbangkan kepada peruntukan kos iklan media cetak yang kecil dan langsung tiada promosi melalui media elektronik seperti radio dan TV sambutan yang diterima bolehlah dianggap luar biasa.
Ramai juga yang menyangka kami mempunyai agen promosi dan wakil pemasaran di seluruh negara – jawabnya TIDAK ADA. Hanya selepas Hari raya nanti insyaAllah akan ada beberapa individu yang telah dipilih untuk menjadi perunding Amalan Kesogehan yang dipanggil PENATA yang akan membantu menerangkan tentang Gagasan Ekonomi Amalan Kesogehan di wilayah masing masing.
Melalui seminar tersebut, saya berpeluang berinteraksi secara lebih dekat dengan segenap lapisan umat Islam Malaysia. Ada golongan profesional seperti Peguam, Doktor, Arkitek, Engineer (Ir), Quantity Surveyor, ada Guru, Ustaz, Pensyarah, Profesor, Pegawai Kerajaan, ada penulis lirik, pencipta lagu, pengarah filem, ada peniaga kecil, ada kontraktor, ada pengilang, ada peneroka, polis, tentera dan pengawal keselamatan.
Ertinya umat Islam di Malaysia telah berjaya membina semua jenis kerjaya. Kerjaya taraf tinggi dan juga kerjaya taraf pertengahan dan juga kerjaya taraf bawahan. Di mana jika mereka semua itu dapat di GUYUB (Diakrabkan) pasti dapat membentuk satu komuniti muslim yang bersinergi. Komuniti itu akan menjadi satu FORCE yang amat berkesan untuk mengangkat satu produk Halalan Thoyyiban yang dihasilkan oleh tangan-tangan Islam atau memboikot sesuatu produk haram dan syubhat hasil dari tangan-tangan kuffar.
Apabila berada dalam satu wadah semangat umat begitu berkobar-kobar. Rasa macam nak terjun ke medan jihad ekonomi hari itu juga!
Namun saya rasa terkilan, kerana mereka hanya berada dalam satu wadah (Seminar) untuk sehari sahaja. Kemudian habis seminar mereka kembali ke rumah masing masing dan entah bila akan bertemu kembali. Tidak ada satu mekanisma yang dapat menyatukan mereka semula secara tetap untuk satu jangkamasa panjang. Maka semangat yang tadinya menyala kini mulai malap, padam dan sejuk. Bila tiada komuniti maka tiada interaksi sesama sendiri secara berkesinambungan akibatnya tiadalah sinergi.
Maka kita hanya menjadi leverage kepada orang lain. Duit kita akan mengalir keluar menjadi sumber kemakmuran peniaga bukan Islam. Mereka menguasai keseluruhan aktiviti ekonomi termasuk yang berkait secara langsung dengan umat Islam. Tentunya sedih apabila mengetahui kopiah yang berada di atas kepala umat Islam pun hasil buatan orang kafir.
Termasuklah pelbagai barangan keperluan harian umat Islam dari keperluan makan pakai hinggalah alatan ibadah dsbnya. Maka dianggarkan, wang dibelanjakan oleh seluruh umat Islam Malaysia untuk tujuan khenduri-kendara sahaja dalam satu tahun sahaja adalah sebanyak RM10 bilion.
Tidak banyak yang telah kita buat untuk merubah lanskap sosio-ekonomi yang tidak mengangkat martabat ummah ini. Kita letaknya di bawah! Seminar dan forum tidak akan membawa kita ke mana-mana sehinggalah kita bertindak secara penuh sadar dan menerjunkan diri ke tengah gelanggang untuk berjihad dalam bidang ekonomi.
Tapi kita tak boleh terjun macam bidan terjun. Kita mesti terjun dengan persediaan rapi. Mana boleh pergi perang tanpa senjata, strategi dan bala tentera. Justru sudah tibalah masanya kita menggerakkan satu Gagasan Eknomi Ummah yang bergerak dengan penuh kesungguhan dan keinsafan. Kod 7711 mestilah difahami, dihayati dan dilaksanakan oleh semua. Kerana itulah (Kod 7711) senjata yang amat-amat ditakuti oleh musuh-musuh Islam. Hadirlah beramai-ramai ke mana-mana seminar atau prebiu Amalan Kesogehan yang kami adakan dari masa semasa – nescaya anda akan TERSULUH dan TERGUGAH! Kemudian anda terus MENGGUYUB dengan kami – kerana kami akan buka rahsia di sebalik 7711. setelah itu anda akan MENEKUNI satu usaha yang telah diputuskan. Hasilnya insyaAllah anda akan menjadi seorang OKB Orang Kaya Bertaqwa yang telah mampu untuk MENYEBAR.
SEJARAH HEBAT YANG TERLEPAS PANDANG
Bilakah kali pertama anda mendengar dan menyebut ungkapan ‘MOTIVASI’.
Istilah motivasi adalah kata terjemahan dari motivation yang bermakna dorongan semangat ke arah pencapaian cemerlang. Kalau menurut pemerhatian saya, penggunaan istilah motivasi ini bermula di era 80an bersama dengan kemunculan ikon-ikon motivasi era 80an. Namun motivasi adalah satu fenomena ‘Self Development’ dari Barat. Dan motivasi barat ini bersandar sepenuhnya kepada keilmuan barat terutamanya ilmu psikologinya. Namun apabila ilmu mereka tidak mampu menyokong teori-teori motivasi yang mereka cetuskan mereka mulai tercari-cari sumber lain sehingga memungut serpihan batu-batu berukir kota Babylon contohnya buku ‘The Richest Man In Babylon’. Mereka terus juga menggali ilmu-ilmu dari kitab purba Sanskrit, Samurai Jepun dan China Purba.
Motivasi barat itu, sehingga ini berjaya menarik tumpuan manusia kearah barat apabila mereka mahu mencari ilmu motivasi atau ilmu kekayaan. Termasuklah kebanyakan orang Islam di daerah kita ini, termasuklah kita semua ini. Lalu kita menjadi pengkagum dan pemuja ikon motivasi seperti Robert T Kiyoshaki, Donald Trump, Edward De Bono dll.
Akhirnya, kita semua terlepas pandang tentang ilmu motivasi atau ilmu kekayaan yang ada di rantau kita sendiri. Betapa banyak khazanah ilmu bernilai itu terpendam dalam artifak purba yang mana sebahagiannya dipendam dengan sengaja oleh para penjajah barat seperti Inggeris dan Belanda.
Hakikatnya, ramai di kalangan kita umat Islam tidak begitu mengetahui sejarah perkembangan dan kegemilangan Islam di Nusantara. Bermula dari terdirinya kerajaan Islam di Pasai, Perlak, Acheh hinggalah berdirinya kerajaan Islam Demak di bawah pemerintahan Sultan Agung Raden Fatah. Era kegemilangan dakwah Islamiah Walisongo dan kehebatan empayar Islam Mataram. Sampailah perjuangan kemerdekaan Diponegoro. Semua sejarah penting ini tidak diketahui oleh kebanyakan dari orang Islam Nusantara masakini terutamanya generasi muda. Kenapa terjadi begitu? Itu terjadi dari satu konspirasi terancang para penjajah barat. Catatan penting itu telah dengan sengaja dihilangkan dari teks dan dokumen sejarah rakyat oleh para penjajah dan penjarah Inggeris, Belanda dan Sepanyol.
